Tuesday, November 24, 2009

Lagi kemalangan maut, kali ini pekerja binaan jadi mangsa

PUTATAN: Seorang pekerja pembinaan maut apabila kenderaan jenis Perodua Rusa yang dinaikinya dilanggar sebuah kenderaan pickup di jalan Papar-Kota Kinabalu dekat sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Penampang, DSP Madang Usat yang mengesahkan kejadian itu kelmarin berkata, mangsa yang dikenali sebagai Dellar @ Dellar Mine b Suhaidin, 26, meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan.

"Siasatan awal polis mendapati kereta Perodua Rusa itu dikatakan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dari Putatan dan ketika pemandu Perodua Rusa itu cuba membuat pusingan U, tiba-tiba muncul sebuah kereta pickup yang datang dari arah bertentangan yang kemudiannya merempuh Perodua Rusa terbabit," katanya.

Tambah Madang, pemandu dan empat lagi penumpang kenderaan Perodua Rusa itu kemudiannya segera dikejarkan ke hospital untuk rawatan kecemasan manakala pemandu kenderaan pickup tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.

Madang dalam pada itu memberitahu bahawa pihak polis masih lagi menyiasat punca sebenar kemalangan itu berlaku.

p/s: Kemalangan maut ini merupakan kali ketiga berturut-turut sejak kejadian kematian seorang wanita hamil yang terlibat dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas.

Pada Ahad, seorang lagi lelaki tempatan maut dalam kemalangan jalan raya di Likas.


Sunday, November 22, 2009

Wanita hamil maut dalam kemalangan

PUTATAN: Seorang wanita hamil yang sedang dalam perjalanan ke hospital untuk melahirkan anak pertamanya maut dalam kemalangan apabila kenderaan Kancil yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah kenderaan lain.

Mangsa, Masnih Manan, 27, dari Kampung Petagas mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian badan sementara pemandu dan dua lagi penumpang kenderaan tersebut cedera parah.

Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai, Hamdan Manan, 26, (pemandu) yang juga adik kepada mangsa, isteri Hamdan, Rina Muharny Abdullah, 26, dan mentuanya, Jerani Rayah, 55.

Suami mangsa yang dikatakan berada di Sandakan untuk bekerja juga telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Madang Usat berkata, kejadian itu berlaku pada awal pagi di Jalan Papar-Kota Kinabalu berhadapan dengan stesyen minyak Petronas apabila sebuah kenderaan jenis Prado yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 28 tahun dikatakan hilang kawalan dan termasuk ke arah bertentangan sebelum merempuh kereta Kancil terbabit.

Kenderaan Prado terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Ketiau dari Kota Kinabalu sementara kereta Kancil tersebut dalam perjalanan dari Kampung Petagas ke Pusat Perubatan Sabah (SMC) sebelum kedua-dua kenderaan itu bertembung kira-kira jam 2.30 pagi.

"Pemandu kereta Prado terbabit yang hanya mengalami kecederaan ringan telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan yang mana boleh dijatuhkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun atau denda antara RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

"Bagaimanapun, pemandu terbabit telah pun dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas selesai siasatan terhadapnya," kata Madang.

Sementara itu, difahamkan kakitangan hospital telah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan bayi dalam kandungan mangsa tetapi gagal.

Ketiga-tiga mangsa yang cedera parah itu juga kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth kerana masih lagi dalam keadaan kritikal.

Madang, dalam pada itu memberitahu bahawa pihak polis kini masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian kemalangan itu.

Saturday, November 21, 2009

Loji Janakuasa Arang Batu di LD, Baik atau Buruk?

Salam sejahtera kepada semua pengunjung Keningau-Kionsom, sudah agak lama saya tidak mencoretkan sesuatu dalam blog yang saya wujudkan sejak setahun lebih ini.
Bukan kerana tiada topik dan isu yang ingin dikongsikan tetapi faktor masa dan kerja sedikit sebanyak menghalang saya untuk mem'post'kan sesuatu yang baru.
Sekarang kita telah pun masuk ke bulan kedua terakhir dalam tahun ini dan tidak lama lagi kita bakal menutup tirai tahun 2009 dan membuka lembaran baru dalam tahun 2010.
Begitu cepat sekali masa berlalu, daripada saya bujang hinggalah berstatus kahwin dan kini mempunyai anak perempuan yang comel. Agak sukar digambar dengan kata-kata atas semua kehidupan yang saya lalui selama ini.
Mungkin agak bosan jika saya terus menceritakan laluan hidup saya di dunia ini kerana begitu banyak isu di luar sana yang lebih menarik perhatian orang ramai.
Bercerita mengenai isu menarik, apa yang saya anggap isu menarik di Sabah pada ketika ini ialah isu pembinaan loji janakuasa arang batu di Lahad Datu oleh pihak Kerajaan Negeri.
Minggu lepas saya ada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung selama lima hari. Apa yang paling banyak dipertekakkan di dewan yang menjadi pusat perhimpunan para 'YB' ini ialah berkenaan dengan pembinaan loji janakuasa arang batu tersebut.
Walaupun bilangan pembangkang yang berada di dalam DUN sangat kecil jumlahnya, namun suara mereka begitu lantang menyuarakan isi hati rakyat yang tidak setuju dengan pembinaan loji yang dikatakan boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar itu.
Saya sebenarnya tidaklah ambil tahu sangat isu yang sering menjadi perbalahan dua pihak ini, tetapi apa yang saya lihat, ramai di kalangan rakan-rakan yang saya kenali terutama para wartawan tidak setuju dengan pembinaan loji janakuasa arang batu itu.
Perbalahan turut berlaku di dalam Facebook (FB), kempen anti bina loji janakuasa arang batu di Lahad Datu semakin menjadi-jadi dalam FB sehinggakan ada saya terbaca salah seorang daripada rakan wartawan berbalas kenyataan mengenai isu itu dengan seorang wakil rakyat.
Saya kagum dengan keberaniannya, dia begitu prihatin dengan kepentingan rakyat sehinggakan berani 'menghentam' pihak yang cuba mewujudkan alat yang boleh mencemarkan alam sekitar itu.
Bagi saya, pembinaan loji itu ada kebaikan dan keburukannya. Tetapi adalah lebih baik dibatalkan sahaja projek itu jika keburukan melampaui kebaikan. Cari alternatif lain! walaupun
Perdana Menteri kita pernah berkata tiada alternatif lain tetapi apa salahnya kita fikirkan sesuatu yang lain jika 'fikiran' yang lama itu mendapat tentangan dan membawa keburukan...sekian aramai tih!

Tuesday, November 3, 2009


Salam 1Malaysia kepada semua pembaca Utusan Borneo, tanpa disedari kini tiba giliran saya pula untuk mencoretkan sesuatu dalam ruangan yang diberi nama 'Nota Seorang Wartawan'.

Masa memang cepat berlaku dan kini kita telah pun berada di bulan kedua terakhir pada tahun ini. Dalam tempoh satu tahun ini, banyak perkara yang telah saya lalui.

Saya meninggalkan zaman bujang saya dan saya juga telah dikurniakan seorang 'baby girl' yang saya namakan Roxanne Lillian Willie Junaidi. Kini tugas seharian saya sebagai seorang suami dan bapa tidak jauh beza beratnya dengan tugas yang saya lakukan sebagai seorang wartawan.

Bayangkan, setiap malam saya sering terjaga dengan tangisan anak kesayangan saya dan di waktu siang pula saya perlu berjuang dari segi mental dan fizikal untuk mengarang sesuatu berita.

Namun segala kesibukan itu saya hadapi dengan bersahaja, mungkin kerana saya menikmati saat-saat kehidupan baru saya walaupun sibuk dengan tugasan-tugasan harian.

Sebelum saya bergelar seorang ayah dulu, saya selalu berfikir bagaimanalah nanti bila saya sudah ada anak? Bagaimana mahu bahagikan masa? Susahkah bila ada anak? Adakah ia akan mengganggu tugas saya sebagai wartawan?

Namun segala-galanya kini sudah terjawab walaupun masih di peringkat permulaan, saya sangat senang dengan kehidupan baru ini dan saya sangat menikmatinya.

Keluarga dan kerjaya, kedua-duanya agak seimbang bagi saya. Kesibukan saya bersama keluarga tidak mengganggu kerja saya sebagai wartawan dan kesibukan saya sebagai wartawan juga tidak mengganggu komitmen saya terhadap keluarga.

Apa yang penting ialah perancangan dan tindakan, jika kita rancang sesuatu perkara yang perlu kita buat, ia akan menyenangkan kita tetapi setiap rancangan itu haruslah diiringi dengan tindakan kerana jika kita hanya merancang tetapi tiada tindakan, perjalanan kehidupan kita pasti akan terbantut.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan seperjuangan dan keluarga yang banyak membantu dan memberikan dorongan, tanpa mereka mungkin saya tidak akan hadapi kehidupan baru ini dengan begitu senang.

Bagi saya, satu lagi tahap baru kehidupan telah saya capai dan saya juga bersedia menghadapi tahap yang mungkin lebih sukar lagi. Sekian, Aramai Tih!


p/s: Artikel ini telah dikeluarkan di Utusan Borneo pada 2 November lepas.

Friday, September 4, 2009

Welcome 'Baby Roxy'!

Salam aramai tih kepada semua pengunjung Keningau-Kionsom, pada 30 Ogos lepas tepat jam 12 tengah hari, saya telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Saya masih ingat betapa gembiranya diri ini apabila mengetahui 'baby girl' saya selamat hadir ke dunia yang penuh indah ini.
'Dear, c roxy 2.85'...itulah SMS pertama yang saya dapat selepas 'wife' saya, Diana masuk ke dalam bilik bersalin.
Sukar untuk saya luahkan perasaan saya pada ketika itu, dan apabila Diana menghubungi saya selepas menghantar SMS itu, air mata saya mengalir...memang agak sukar untuk saya mengalirkan air mata, tetapi saat itu sangat bermakna bagi saya.
Saya sangat bersyukur kepada Tuhan atas rahmatnya sehingga lahirnya Roxanne Lillian W. Junaidi ke dunia ini.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya selama ini terutama kepada 'mummy' dan 'daddy'. Tidak lupa juga kepada ibu dan bapa mentua saya serta seluruh keluarga Arifin dan Bingkasan.
Tanpa anda semua, saya dan Diana pasti tidak akan dapat lalui semua ini...terima kasih sekali lagi.
Saya ingin ulangi apa yang pernah saya katakan sebelum ini...saya berjanji akan menjadi seorang ayah dan suami yang baik.
Saya tidak akan sia-siakan hidup keluarga saya...saya akan menyayangi mereka sehingga nafas terakhir saya...sekian aramai tih!

Wednesday, August 26, 2009

Suasana makan malam bersama keluarga


Pada malam Selasa lepas, saya dan keluarga telah pergi ke Hotel Juta, Keningau untuk menikmati jamuan makan malam sempena dengan hari lahir 'daddy', Junaidi Arifin dan adik bongsu saya, Debbie Judy Junaidi.
Semoga Tuhan terus memberkati keluarga kami dan semoga hubungan kekeluargaan yang kuat selama ini akan terus kekal.
Kepada adik saya, Charlie dan Bryan, walaupun mereka tidak dapat bersama pada malam itu, kami tetap mengingati mereka di perantauan.
Tidak apa, lain kali kita satu keluarga aramai tih sama-sama...sekian.

Monday, August 24, 2009

Pacuan empat roda terbabas, pemandu maut

BEAUFORT: Seorang pemandu pacuan empat roda maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar bahu jalan di Kilometer 17, jalan Beaufort-Sipitang di Lumadan dekat sini pada Ahad.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa Koong Kok Yong, 38, yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Lawas, Sarawak dikatakan gagal mengawal kenderaannya di satu selekoh tajam sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Supritendan Mustaffa Maarof berkata, mangsa yang berasal dari Taman Jinjang Baru Kuala Lumpur terbunuh di tempat kejadian.
"Kereta yang dipandu mangsa gagal dikawal lalu melambung dan terbalik beberapa kali sebelum terhumban di bahu jalan.
''Mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian dada dan kepala mati di tempat kejadian,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa selama kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan tersebut.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital daerah Beaufort untuk dibedah siasat dan polis sedang menyiasat punca kejadian.
Sementara itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya di sekitar daerah ini agar lebih berhati-hati dan menumpukan sepenuh perhatian ketika sedang memandu.
Selain itu katanya, pengguna jalan raya hendaklah mematuhi had laju yang ditetapkan dan tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Me & Her

Family Matters...

VISITOR

Music For Life